Monday, December 29, 2014

Anak Melihat Apa Yang Ibubapa Mereka Lakukan.

Saya teringat masa saya di University dulu, awal lagi berminat kepada perniagaan. Mungkin pengaruh saya dibesarkan oleh keluarga yang berniaga. Emak bapa saya berniaga. 
Walaupun asalnya bapa saya bekas polis dan emak saya seorang suri rumah tetapi telah membuat keputusan untuk berniaga selepas itu.
Gambar Hiasan
Cerita bermulanya emak saya berniaga adalah asalnya beliau sangat suka bercucuk tanam pokok-pokok hiasan di keliling rumah sebagai 'hobby'. Sekali-sekala emak saya akan membawa pokok-pokok hiasanya ke bazaar 'fund-raising' dan pasar minggu untuk dijual untuk mendapat pendapatan sampingan. Satu hari, ada seorang pegawai dari badan berkanun kerajaan datang ke rumah menawarkan emak saya untuk menyewa pokok-pokok perhiasan dalam pasu untuk dihantar ke pejabat mereka dalam bilangan yang agak besar. Pendapatan dari perniagaan pokok hiasan tadi melonjak.
Binaan untuk peneduh pokok.
Saya ketika itu masih belajar di sekolah menengah. Kami tidak mempunyai pekerja untuk membantu emak saya. Waktu bilangan pokok-pokok hiasan tadi bertambah, kami menambah keluasan peneduh untuk menyimpan pokok-pokok tadi. Saya teringat bila balik dari sekolah, saya tukar pakaian kerja untuk membina binaan peneduh pokok-pokok emak saya tadi setiap hari sehingga siap. Kami juga membantu menyiram pokok-pokok tersebut.
Setiap hari Sabtu, kami anak-beranak akan bekerja menghantar pokok-pokok hiasan ke pejabat-pejabat yang menyewa pokok-pokok hiasan tadi. Inilah kerja kami setiap minggu.
Adakan aktiviti bersama dengan anak-anak
Satu perkara yang saya pelajari dalam pengalaman ini ialah dalam mendidik anak-anak, pastikan LIBATKAN anak-anak anda untuk membantu anda dalam apa pun pekerjaan anda lakukan. Apa yang berlaku pada saya, walaupun saya kadangkala merungut kerana terpaksa menolong emak ketika itu, tapi secara tak langsung saya belajar. Saya tahu susah senang berusaha untuk berjaya. Saya dibesarkan dalam suasana itu. Dialog kami di rumah juga banyak mengenai urusan perniagaan. Kami terpaksa mendengar. Disebabkan kami terpaksa mendengar tadi, sebenarnya telah memberi pendedahan yang banyak tentang perniagaan. 
Pendedahan perniagaan kami lebih kepada kontrak, pelanggan, saingan, service, penjualan, membeli benih pokok untuk menambah bilangan, keuntungan, kerugian dan pelbagai.
Yang penting di sini, emak bapak kami TAK PERNAH sengaja nak mengajar kami berniaga, tetapi disebabkan kesungguhan mereka dalam bidang yang mereka usahakan, membuatkan kami juga minat berniaga. Kesemua 4 orang anak-anak mereka sehingga kini terlibat dalam perniagaan.
Saya teringat kata-kata Jim Rohn.... "Success is something you attract by the person you become"...
Ibubapa saya focus kepada kerja-kerja mereka tetapi dengan secara tak langsung melibatkan kami dalam suasana ini. Mereka sering jadikan kami teman bercerita termasuk hal-hal perniagaan mereka. Kami tidak pernah merasa tercicir dalam perbincangan mereka di rumah. Malah kadangkala pendapat kami diambil kira dalam beberapa keputusan yang  dibuat.
Saya amat bersyukur kepada Allah swt telah memberi taufiq dan hidayahnya kepada kami dan telah menyusun kehidupan kami sedemikian rupa. Tidak lupa saya bersyukur dan rasa terima kasih saya kepada kedua ibubapa saya yang telah bersusah payah membesarkan dan mendidik kami. Moga usaha mereka tidak menjadi sia-sia dan Allah terus memberi taufiq dan hidayahnya seterusnya kepada keturunan mereka supaya digolongkan dalam golongan orang-orang yang Soleh.

ALHAMDULILLAH.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...